Rabu, 29 Jun 2011

Oh..masanya dah tiba!

Selama sembilan bulan mengandung kini tibalah masa bagi bayi anda lahir ke dunia.
Inilah peluang pertama untuknya untuk mengalami kehidupan baru di dunia.
Proses kelahiran itu sendiri ada pelbagai corak, petanda dan peringkat tertentu yang
harus dilalui.

Setiap wanita ingin bayi yang dikandungnya lahir selamat dan melalui cara yang paling
menyelesakan. Namun, takdir setiap orang tiada siapa yang dapat menentukan kecuali
diri-Nya. Anda menjalani kehidupan ibu hamil seperti biasa. Mengambil makanan
seimbang, bertemu doktor peribadi pada tarikh yang ditetapkan dan melakukan senaman
ringkas yang baik untuk tubuh badan.

Tarikh untuk anda dijangka bersalin masih jauh lagi, mungkin anda terfikir bahawa apa
saja kemungkinan bakal berlaku sepanjang tempoh yang berbaki itu. Yang nyata anda
langsung belum bersedia untuk melahirkan bayi.

Dalam satu kitaran 28 hari yang biasa, ini berlaku kira-kira 14 hari sebelum kedatangan
kitaran haid yang berikutnya. Oleh itu untuk mengira tarikh kelahiran secara kasar,
kira 280 hari (226 campur 14) daripada hari pertama kitaran haid anda yang terakhir.
Tetapi, anda perlu ingat, ini hanya satu panduan.
Walaupun purata kehamilan ialah 40 minggu namun jangka masa kehamilan yang biasa
ialah dari 38 ke 42 minggu.

Kontraksi

Anda mungkin rasa risau dan sedikit keliru kerana anda kurang mengenali saat pelahiran
tersebut. Anda mungkin keliru untuk membezakan kontraksi pelahiran pertama dengan
konraksi yang mungkin dialami pada minggu-minggu akhir kehamilan. Walaubagaimanapun
anda mungkin mengetahui masa untuk melahirkan kerana ia disertakan dengan beberapa
tanda.
Kontraksi mungkin bermula dengan disertakan sakit-sakit pada bahagian belakang badan.
Rasa kesakitan tidaklah terlalu kuat atau mencucuk. Ia terasa seolah-olah seperti sakit
kedatangan haid atau senggugut yang teruk.

Mengukur masa kontraksi

Ukur masa kontraksi selama sejam. Perhatikan bila masa setiap satu bermula dan berakhir.
Kontraksi ini sepatutnya menjadi lebih kuat dan kerap. Sela masa kontraksi pertama dan
yang berikutnya adalah pelbagai. Ia mungkin bersela selama 20 minit, 15 mini, 10 minit,
ataupun paling singkat selama 5 minit.
Jika sela masa kontraksi menunjukkan rentak selang 5 minit sekali, maka berhati-hatilah.
Segera ke hospital kerana kelahiran sulung mungkin waktu pelahiran masih jauh, tetapi,
biasanya proses pelahiran kedua dan seterusnya akan lebih pantas.

Tahniah ! anda telah menjadi ayah dan ibu.

Sumber :
Kehamilan dan kelahiran oleh : Zulzila Dzulkefli PA&MA keluaran Februari 2004

Selasa, 28 Jun 2011

Hepatitis A

Lindungi anak anda daripada Hepatitis A
Hepatitis A boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Kanak-kanak juga tidak terkecuali. Tetapi tidak ramai
yang menyedari bahaya penyakit ini kepada kanak-kanak.

Apa itu Hepatitis A?
Hepatitis A ialah jangkitan hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis A (HAV). Jangkitan ini akan
membuat hati menjadi bengkak dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Walaupun Hepatitis A tidak
membawa maut, namun jika seseorang itu pernah dijangkiti HAV, penyakit ini mudah dijangkitinya
semula di kemudian hari.
Jadi, pastikan persekitaran anda selamat daripada bahaya HAV.

Bagaimana Hepatitis A boleh merebak?
HAV boleh dijumpai didalam najisindividu yang dijangkiti Hepatitis A. Ianya mudah merebak jika
kebersihan diri dan kawasan sekitar tidak dijaga dengan baik.
Tanda-tanda diri dijangkiti HAV bole diketahui sama ada seminggu sebelum simptom timbul ataupun
dalam minggu pertama simptom ditunjukkan.
Namun yang merunsingkan ialah jika kanak-kanak dijangkiti Hepatitis A, mereka jarang menunjukkan
sebarang simptom jangkitan ini. Tambah teruk lagi, kanak-kanak yang dijangkiti HAV akan menyebarkan
pula kepada kanak-kanak lain dan orang biasa tanpa disedari oleh sesiapa.

Berikut adalah cara-cara Hepatitis A boleh tersebar :
* Melalui sentuhan dengan mereka yang telah dijangkiti.
* Makan makanan yang disediakan oleh pesakit Hepatitis A.
* Minum air yang telah dicemari oleh HAV.
* Makan buah-buahan, sayur-sayuran atau makanan lain yang terlebih dahulu disentuh oleh pesakit
   HAV.
* Makan tiram, kepah, siput sedut, kupang, kerang yang diperolehi dari kawasan yang dicemari HAV
   sama ada secara mentah ataupun separuh masak.

Siapakah yang berisiko tinggi?

* Mereka yang berkongsi barangan peribadi dengan pesakit HAV.
* Bersentuh dengan mereka yang dijangkiti HAV.
* Pekerja yang mengendalikan haiwan yang dijangkiti HAV.
* Kanak-kanak dan pekerja di pusat jagaan kanak-kanak (terutamanya pusat jagaan yang menjaga
   kanak-kanak yang memakai lampin)
* Pekerja yang bertugas di pusat jagaan kanak-kanak cacat.
* Lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
* Penagih dadah.
* Banduan.
* Pengendali makanan.

Tanda-tanda Jangkitan?

Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom.
Namun bagi orang dewasa pula, 3 daripada 4 orang dewasa yang dijangkiti Hepatitis A akan menunjukkan
simptom. Simptom tersebut biasanya kelihatan setelah beberapa hari mereka dijangkiti.

Simptom-simptom yang dimaksudkan termasuklah :
* Mata dan kulit berwarna kuning.
* Air kencing berwarna gelap.
* Loya.
* Demam.
* Badan lesu dan letih.
* Hilang selera makan.
* Sakit perut.
* Cirit-birit.
* Muntah.
* Selsema.
* Najis berwarna cerah.
* Sakit kepala.
* Sakit sendi.
Jika anda menunjukkan simptom yang tertera, segera dapatkan rawatan lanjut. Doktor akan
menegsahkan penyakit anak anda melalui ujian darah.

Kenapa Hepatitis A dianggap serius?

Kekerapan dan keparahan simptom yang dialami akan menggalakkan kompilasi. Hepatitis A ini
kadangkala boleh menyebabkan kerosakan hati yang teruk dan bagi kes-kes tertentu boleh
menyebabkan maut.

Bolehkah Hepatitis A dirawat?

Setakat ini tiada rawatan khas yang efektif, walaubagaimanapun, kebanyakan pesakit yang dijangkiti
HAV akan beransur pulih dengan sendirinya selepas beberapa minggu. Jadi, jika anak anda dijangkiti
pastikan dia mendapat rehat yang secukupnya.
Selain itu, ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor dapat menjamin anak anda kembali sihat seperti
sedia kala. Apa yang penting ialah pastikan dia mengamalkan kebersihan diri dan mengelakkan diri
daripada terdedah kepada punca-punca yang boleh menyebarkan HAV.

Bolehkah Hepatitis A dicegah?

Anda boleh melindungi diri sendiri dan keluarga dengan mendapatkan suntikan vaksin Hepatitis A.
Vaksin ini akan memberi perlindungan jangka panjang kepada mereka yang menerimanya. Anda
boleh mendapatkan suntikan tersebut di klinik atau hospital yang berhampiran.
Biasanya kanak-kanak akan diberikan vaksin ini selepas berumur 2 tahun sebanyak tiga kali.
Bagi orang dewasa pula, mereka akan mendapat suntikan vaksin diantara 2 hingga 3 kali dalam tempoh
6 hingga 12 bulan.
Selain daripada penggunaan vaksin, anda boleh melindungi diri dengan mengamalkan langkah-langkah
tersebut :
* Bersih tangan selepas menggunakan tandas.
* Cuci tangan sebelum makan.
* Pakai sarung tangan jika perlu mengendalikan najis orang lain. Setelah itu, bersihkan tangan anda.
* Jangan gunakan air batu yang dibuat daripada air paip.
* Jangan cuci buah-buahan dan sayur-sayuran menggunakan air paip. Digalakkan mencucinya
   menggunakan air bertapis.

Apakah perbezaan antara Hepatitis A dan Hepatitis B?

Penyakit-penyakit ini disebabkan oleh virus yang berbeza dan vaksin Hepatitis B tidak dapat melindungi
individu itu daripada jangkitan Hepatitis A. Perbezaan ketara ialah : Hepatitis A disebarkan melalui
kotoran (seperti air dan makanan) manakala Hepatitis B pula tersebar melalui hubungan seksual
(seperti cecair badan dan darah).

Sumber :
Langkah demi langkah: PA&MA keluaran Disember 2004

Isnin, 27 Jun 2011

Bagaimana Cara Menangani Rotavirus

Nasihat yang berguna untuk ibubapa dan pusat jagaan kanak-kanak



Rotavirus adalah punca utama cirit-birit dan dehidrasi yang teruk dikalangan bayi di negara-negara membangun dan juga di negara-negara industri, dengan variasi bermusim mengikut latitud / garis lintang dan cuaca. Khususnya, rotavirus menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke hospital.

Ibubapa dan pengasuh kanak-kanak perlu berjaga-jaga terhadap gejala rotavirus. Mengenali gejala rotavirus dengan cepat adalah sangat penting untuk mengawal penyakit ini. Cara terbaik untuk mencegah penyakit ini adalah melalui vaksin. Adalah pentin bagi anda membincangkan dengan doktor tentang gejala rotavirus. Kesan gejala rotavirus sebelum ia mengakibatkan komplikasi yang serius. Ini termasuk demam, sakit perut, muntah dan cirit-birit berair.

Periksa sama ada konsistensi najis dan kekerapan membuang air besar dalam sehari adalah berbeza daripada apa yang normal untuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang menghidapi rotavirus mungkin mengalami beberapa episod cirit-birit dan muntah dalam sehari, dan kadang kala sehingga 20 episod dan keseriusan cirit-birit biasanya berlaku selama 3 hingg 7 hari.

* Adalah tidak wajar memberi ubat-ubatan tanpa preskripsi, sama ada untuk cirit-birit atau yang lain.
* Jangan menggunakan ubat-ubatn antimikrob atau antiparasit.
* Jangan menggunakan antibiotik juga.
* Ikut kesemua cadangan doktor, walaupun jika terpaksa mengubah diet kanak-kanak.
* Beri perhatian kepada tanda-tanda dehidrasi. Dehidrasi terjadi akibat daripada ketidakupayaan untuk
   mendapat cecair yang diperlukan oleh tubuh dan mengganti kehilangan air melalui cirit-birit.
   Tanda-tandanya ermasuk dahaga, kerengsaan, kegelisahan, tidak bermaya, mata cengkung, kekeringan
   mulut, lidah dan kulit, dikalangan bayi berapa jam lampin masih kering, dikalangan budak besar kekerapan
   kencing berkurang.
* Dalam kes-kes yang serius, muntah yang kerap menyebabkan sukar untuk melakukan
   rehidrasi/penghidratan semula melalui mulut dan kemungkinan cecair perlu diberikan melalui intravena atau
   salur darah di hospital.
* Cara terbaik untuk melakukannya dengan memberikan larutan ORS (Oral rehydration solutions) sejurus
   selepas kanak-kanak berhenti muntah dan boleh minum.
* Disebabkan rotavirus adalah virus yang sangat mudah berjangkit dan kesannya tidak dapat diduga, cara
   terbaik untuk melindungi kanak-kanak adalah melalui suntikan vaksin.

Sumber :
Matson DO. rotaviruses. In: Long SS, Pickering LK, prober CG, eds. Principles and Practice of Pediatric Infectious Disease. Churchill-Livingstone 2003 2nd ed. New York pp. 1104-1110

Ahad, 26 Jun 2011

Pemakanan kanak-kanak bawah 1 tahun

Bayi membesar dengan cepat pada tahun pertama.
Kebanyakan bayi bertambah berat badannya 2 kali ganda dalam masa 4-5 bulan dan 3 kali ganda bila mencapai umur setahun.
Makanan bayi perlu mengandungi cukup protein, lemak, karbohidrat, mineral dan vitamin
untuk memenuhi keperluan tumbesaran.
Susu ibu boleh membekalkan keperluan zat makanan yang lengkap sehingga bayi berusia 6 bulan. Pada masa ini makanan tambahan perlu diperkenalkan kepada bayi untuk memastikan bayi mendapat segala zat makanan yang diperlukan.

1. Penyusuan susu ibu
Menyusu anak anda dengan susu ibu merupakan langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Anda digalakkan menyusukan bayi anda sebaik sahaja selepas bersalin atau dalam masa 1 jam selepas bersalin. Susui bayi anda sekerap mungkin dan selama mana yang dia mahu. Anda digalakkan menyusu nak sepenuhnya selama 6 bulan dan meneruskannya sehingga 2 tahun. Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi kerana ia kaya dengan zat makanan dan antibodi untuk melindungi anak anda daripada jangkitan penyakit.

2. Memulakan makanan tambahan
Bila anak mencapai umur 6 bulan, makanan tambahan perlu dimulakan untuk anak membesar dengan sihat dan cerdas. Makanan tambahan :
a) Menambah bekalan tenaga.
b) Membekalkan zat makanan.
c) Memperkenalkan anak anda kepada pelbagai jenis dan rasa.

3. Bagaimana memulakan makanan tambahan
6 bulan : Kisar dan tapis makanan supaya ia halus dan lembut
7-9 bulan : Lecek makanan yang kasar dan lebih pekat supaya ia lembut dan halus.
10-12 bulan : Cincang atau potong kecil makanan supaya mudah dikunyah oleh bayi.

4. Cadangan sukatan makanan tambahan sehari (Dalam bentuk sedia untuk dimakan)
6 bulan
Bijirin seperti bubur nasi : 6 sudu makan
Minyak  : 1 sudu teh
Sayur-sayuran : 2 sudu teh
Ikan : 2 sudu teh
Air buah-buahan : 2 sudu makan

7-9 bulan
Bijirin seperti bubur nasi : 2 cawan
Minyak  : 2 sudu teh
Sayur-sayuran : 6 sudu teh
Isi Ikan/ayam : 4 sudu makan
Buah-buahan : 2 sudu makan

10-12 bulan
Nasi dan gantiannya : 1 cawan nasi lembek atau 1 keping roti atau 1 biji kentang saiz sederhana
Minyak : 2 sudu teh
Ikan dan gantiannya : 1/2 ekor ikan saiz sederhana seperti ikan kembung
                                 1 saiz kotak mancis isi ayam atau daging.
Sayur-sayuran : 2 sudu makan
Buah-buahan : 2 sudu makan

Bagaimana memastikan anak anda mendapat zat makanan yang diperlukan.
Pelbagaikan sumber makanan tambahan

Nasi dan Gantiannya
Nasi, mihun, roti dan ubi merupakan sumber utama tenaga untuk anak anda

Buah-buahan dan sayur-sayuran
Makanan ini adalah sumber yang kaya dengan serat, vitamin dan mineral yang membantu menjauhi penyakit.

Ikan, ayam, daging, kekacang dan hasilannya
Makanan ini membekalkan protein, vitamin dan mineral disamping sedikit lemak. Ia berfungsi untuk membina tubuh dan menyembuhkan luka.

Susu
Susu merupakan sumber protein dan kalsium yang tinggi untuk membentuk tulang dan gigi yang kuat.

"Teruskan penyusuan susu ibu sekerap mungkin"

Sumber dari : Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.